Syukur alhamdulillah kerana kita masih diberi kesempatan oleh Allah pada hari ini. Hari ini saya nak cerita mengenai kenangan yang terindah dalam hidup saya. Banyak kenangan terindah tapi cerita ini salah satu kenangan yang terindah.
Setelah habis peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM), saya menerima panggilan telefon dari pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Mereka memberitahu bahawa saya telah terpilih untuk pihak mereka taja menuntut di Darul Quran JAKIM dalam bidang Sijil Tinggi Tarannum. Perasaan ketika itu hanya Allah sahaja yang tahu.
Dulu, sewaktu saya tingkatan 4, saya pernah bercita-cita untuk masuk ke Darul Quran JAKIM kerana di situ ada bidang Tarannum dan saya boleh berjumpa dengan guru-guru tarannum yang hebat. Setiap hari saya akan melayari lawan sesawang Darul Quran Jakim dan berangan-angan untuk ke sana. Namun pada mulanya saya rasa angan-angan itu sekadar angan-angan sahaja. Mana mungkin saya mampu masuk ke Darul Quran kerana saya tidak ada mengambil subjek Bahasa Arab semasa di zaman sekolah menengah. Alhamdulillah, itulah rezeki yang Allah sendiri katakan bahawa tiada siapa pun yang dapat menghalang rezeki seseorang dan Allah itu Maha Pemurah.
Saya menerima tawaran tersebut dengan hati yang sangat gembira. Saya ditaja sepenuhnya oleh pihak JAKIM Sarawak seperti tiket kapal terbang, yuran, penginapan dan lain-lain. Ahli keluarga saya sangat gembira dengan khabar berita tersebut. Persiapan terus dilakukan dan tiket untuk ibu dan abang saya untuk menghantar saya terus ditempah saat itu juga. Alhamdulillah.
Sewaktu saya tiba di hadapan masjid Darul Quran Jakim, Hulu Selangor, saya mendengar azan yang sangat merdu sehingga mampu mengalirkan air mata ini. Setibanya di tempat penginapan, saya berjumpa dengan rakan-rakan dari negeri lain. Namun,umur kami semua berbeza. Ada yang 30 tahun, 50 tahun, 25 tahun dan yang paling muda ketika itu berumur 18 tahun. Saat itu rasa berdebar kerana tidak pernah belajar dan duduk sekali dengan umur yang berbeza. Namun Alhamdulillah daripada mereka saya belajar banyak perkara. Saya sayang mereka dunia dan akhirat. Sebak rasanya bila teringat kepada wajah-wajah mereka.
Sewaktu di Darul Quran (DQ), yang saya dengar hanyalah alunan bacaan Al-Quran. Dalam perjalanan ke kelas, saya mendengar mereka menghafal Al-quran, semasa saya melalui jalan asrama mereka, mereka membaca Al-Quran, semasa beriadah saya melihat mereka membuat permainan teka surah dan lain-lain. Seronoknya sewaktu itu kerana yang hanya saya dengar ialah ayat-ayat suci Al-Quran. Kuatnya hati mereka untuk menghafal surat cinta Allah. Itulah kenangan yang paling saya indah kerana sewaktu itu hanyalah Al-quran.
Sewaktu di kelas tarannum, saya bagaikan bermimpi kerana saya dapt berjumpa qari dan qariah hebat seperti Dato Nik, Dato Faizul, ustazah Fasihah, dan banyak lagi. Ya Allah syukur. Saat itu hanya Allah yang tahu hati saya sangat teruja dan bersungguh-sungguh untuk menuntu ilmu dengan mereka. Rindunya saat itu. Saya dapat belajar banyak perkara baru dan ilmu baru.
Sahabat-sahabat seperjuangan juga sangat baik dan gembira bersama mereka. Sekarang ada yang dah kahwin, ada yang dah dapat anak, ada yang dah sambung belajar, ada yang dah bersara, dan macam-macam lagi. Saya rindukan mereka selalu dan semoga mereka dilindungi oleh Allah. Aamiin.
Saat yang paling bahagia ialah apabila saya mampu bergraduasi dengan mendapat pangkat jayyid jiddan. Sewaktu itu terasa bahagia kerana menyarungkan jubah konvokesyen dan bergambar dengan mak tersayang.
Gambar kat bawah ini serba sedikit kenangan yang terindah. Dulu kurus sekarang makin sihat. sekarang hanya mampu kata rindunya saat ini.
Sekian sahaja coretan saya pada malam ini. Terima kasih sebab sudi membaca. Assalammu'alaikum wbt dan salam sejahtera.
